Judul: al asy-Syams ath-Tholi'ah li Naskh al-Kawakib an-Niirah li Naskh al-Kawakib an-Niirah (الشمس الطالعة لنسخ الكواكب النيرة)
Kategori: Fiqih
Pengarang: Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kub al-Jambui
Jumlah halaman: 116 halaman
Tarikh selesai dikarang: Hari Selasa, 7 Muharram 1381H
Kitab ini ditulis oleh Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kub al-Jambui berikutan isu yang tercetus hasil dari penulisan sebuah kitab bertajuk al-Kawakib an-Niiraat fi Raddi Ahl al-Bid’i wa al-‘Aadaat (الكواب النيرات في رد أهل البدع و العادات) oleh Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun. Isu hangat ini tercetus pada awal dekat 60an dimana Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun telah memfatwakan bahwa buat kenduri makan kematian adalah bid’ah makruhat malah di dalam sesetengah keadaan menjadi bid’ah muharramah. Selain dari isu tersebut, turut juga menjadi isu ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan kematian seperti tunggu kubur, membina bangunan atas kubur dan lain-lain lagi. Menurut Tuan Guru Haji ‘Abdullah di dalam kitabnya itu, semua ini adalah tidak lebih dari bid’ah mazmumah atau munkarat yang dholalah.
Diringkaskan kisah, hasil dari pandangan beliau ini maka bangunlah ulama-ulama Fathani untuk menyanggah pendapat tersebut di dalam bentuk penulisan. Antara ulama yang menulis untuk menyanggah kitab Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun ialah:
- Tuan Guru Haji Ahmad bin ‘Abdul Wahab al-Fusani melalui kitab beliau berjudul Khulasah al-Mardiyyah fi Masail al-Khilafiyah (Pustaka Press, 1389H) dan Kejelasan Buat Makan Kematian (tanpa tarikh) – InsyaAllah akan diperkenalkan kitab ini nanti.
- Tuan Guru Baba Yeh Tok Jong – Ini Beberapa Jawapan Yang Bagus Pada Soalan Yang Datang Daripada Majlis Agama Islam Changwad Fathani (Pustaka Abadi, 1393H)
- Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kub al-Jambui melalui kitab asy-Syams ath-Tholi’ah (1381H). Kitab ini diberi kata-kata pujian oleh beberapa orang ulama, antaranya Tuan Guru Haji Ismail Semela, Tuan Guru Haji Wan Nik Kelung Mandi, Tuan Guru Haji ‘Abdul Wahab, Tuan Guru Pak Chu Mat Bendang Guchil, Tuan Guru Haji Che Ahmad, Haji Ismail Qalyubi Belukar Luas, Haji Muhammad Pandak Bermin, Tuan Guru Haji Hasan Muhammad Amin @ Tok Guru Mak Enggol dan Tok Guru Dala. – kitab yang diperkatakan ini
- Tuan Guru Haji Ismail al-Tatani daripada Legor melalui kitab beliau Minhaj as-Saalimiin fi Thoriqah al-Mutaqaadimin.
Sebagaimana disebut di atas, kitab ini diberi kata-kata pujian oleh beberapa orang ulama, antaranya Tuan Guru Haji Ismail Semela, Tuan Guru Haji Wan Nik Kelung Mandi, Tuan Guru Haji ‘Abdul Wahab, Tuan Guru Pak Chu Mat Bendang Guchil, Tuan Guru Haji Che Ahmad, Haji Ismail Qalyubi Belukar Luas, Haji Muhammad Pandak Bermin, Tuan Guru Haji Hasan Muhammad Amin @ Tok Guru Mak Enggol dan Tok Guru Dala.
Pada muqaddimah kitab ini, pengarang mengatakan:
(wa ba’d) maka ini risalah yang kecil, penawar bagi segala saudara-saudara yang masih sakit sekarang di dalam cara-cara kematian. Hamba menerang dengan dia akan masail-masail yang bersangkut paut dengan berjamuan bagi orang-orang mati yang telah menjatuh hukumannya oleh Guru Haji ‘Abdullah Bendang Kebun di dalam kitabnya – الكواكب النيرات في رد أهل البدع والعادات – supaya mengetahui kan dia oleh saudara dan saudari dengan sepenuh-penuh hati di dalam masa berpecah belah dan kucar kacir sekarang ini pada tahun 1380H. begitulah perkara terjadi di akhir zaman daripada nusus dan perkataan ‘ulama yang mu’tabarin yang hamba mendatangkan dia di dalamnya. Maka senanglah ber’amal mereka itu akan apa-apa perkara yang tertegah dan tidaknya dan tiada jadi واويه hati lagi kemana-mana. Dan hamba penamakan dia (الشمس الطالعة لنسخ الكواكب النيرة) ertinya Matahari Yang Terbit Terpancar Bagi Menghilangkan Segala Bintang Cerah Yang Bersinar……………..
Mulahadzoh al-Ula
Ketahui olehmu hai saudaraku sanya perkataan tuan pengarang atas nama kitabnya (الكواكب النيرات) tidak betul dengan ‘iktibar afshah al-kalam kerana padanya menyalahi qaedah nahu pada lafaz – النيرات – dengan jama’ dan sungguhnya yang betulnya – النيرة – dengan mufrad kerana ia sifat bagi al-kawakib yang ia jama’ menempati mufrad kerana qaedah tiap-tiap jama’ yang tidak ber’aqal dimenempatikan dia tempat mufrad. Maka susunan ‘ibarat yang betulnya begini bunyinya (الكواكب النيرة). Dan dalil atasnya ‘ibarat ajrumiyyah لاختلاف العوامل الداخلة عليها, maka tiada berkata ia – الداخلات عليها - …….
Sedikit biodata pengarang kitab ini (insyaAllah akan diperkenalkan nanti di laman kenalilah ulama.
Beliau adalah Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kub al-Jambui ash-Shaulatiy. Lahir di Pekan Jambu, daerah Yaring pada 6 Oktober 1915. Mendapat pendidikan awal di sekolah dasar kerajaan. Kemudian mengikuti pengajian pondok di Kelantan Darul Naim (menurut sesetengah cerita). Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Makkah di Madrasah Shaulatiyyah selama 12 tahun. Beliau lulus di peringkat tsanawi (1360H) dan ‘aliy (1362H) dengan darjat kepujian (jayyid). Selain itu beliau juga belajar kepada Syeikh Pak Da Eil (Tuan Guru Syeikh Wan Ismail abin Wan ‘adul Qadir al-Fathani al-Makki). Antara kitab yang beliau baca dengan Pak Da Eil adalah kitab Tahrir. Sekitar tahun 1945/46 beliau kembali ke Fathani dan membuka madrasahnya sendiri.
Antara guru-guru beliau ketika di Makkah adalah: Syeikh Umar Hamdan al-Mahrasi, Syeikh ‘Abdullah al-Bukhari, Syeikh Hasan Masyath, Syeikh Mukhtar Makhdum Bukhari, Syeikh Zakaria Bila, Sayyid Hasyim Syata’, Syeikh Umar Kurdi, Sayyid Abu Bakar al-Bar al-Hadhrami, Syeikh Daud Raman al-Fathani, Syeikh’ Abdul Qadir Ilyas al-Makki, Syeikh Khalilul Rahman al-Hind, Sayyid ‘Alawi al-Maliki, Syeikh Ibrahim Daud al-Fathani, Pak Da Eil Semela, Haji ‘Abdurrahman Sekam (kemudiannya menjadi mertua beliau) dan lain-lain
Beliau meninggal dunia pada jam 12.30 tengahari Selasa, 18 Dhulqaedah 1415/ 18 April 1995 pada usia lebih daripada 80 tahun.
Sekian dari
Al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Jum’at, 22 Rabi’ulAwwal 1432H/25 Februari 2011






0 comments:
Post a Comment