Tajuk: Minhaaj as-Saalimiin fi Thoriqah al-Mutaqaddimin (منهاج السالمين في طريقة المتقدمين) - Jalan Orang Yang selamat Menurut Orang-orang Yang terdahulu
Kategori: Fiqih
Pengarang: Tuan Guru Haji Ismail bin Muhammad Sholeh at-Tatani al-Langgori
Jumlah halaman: 94 halaman (termasuk 18 halaman manaqib imam mazhab yang empat dan 4 halaman daftar isikandung)
Tarikh selesai dikarang: Jum’at, 21 Rabi’ al-Awwal 1381
Kitab ini telah disusun oleh Tuan Guru Haji Ismail berikutan isu yang tercetus hasil dari penulisan sebuah kitab bertajuk al-Kawakib an-Niiraat fi Raddi Ahl al-Bid’i wa al-‘Aadaat (الكواب النيرات في رد أهل البدع و العادات) oleh Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun. Isu hangat ini tercetus pada awal dekat 60an dimana Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun telah memfatwakan bahwa buat kenduri makan kematian adalah bid’ah makruhat malah di dalam sesetengah keadaan menjadi bid’ah muharramah. Selain dari isu tersebut, turut juga menjadi isu ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan kematian seperti tunggu kubur, membina bangunan atas kubur dan lain-lain lagi. Menurut Tuan Guru Haji ‘Abdullah di dalam kitabnya itu, semua ini adalah tidak lebih dari bid’ah mazmumah atau munkarat yang dholalah.
Diringkaskan kisah, hasil dari pandangan beliau ini maka bangunlah ulama-ulama Fathani untuk menyanggah pendapat tersebut di dalam bentuk penulisan. Antara ulama yang menulis untuk menyanggah kitab Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun ialah
- Tuan Guru Haji Ahmad bin ‘Abdul Wahab al-Fusani melalui kitab beliau berjudul Khulasah al-Mardiyyah fi Masail al-Khilafiyah (Pustaka Press, 1389H) dan Kejelasan Buat Makan Kematian (tanpa tarikh) – InsyaAllah akan diperkenalkan kitab ini nanti.
- Tuan Guru Baba Yeh Tok Jong – Ini Beberapa Jawapan Yang Bagus Pada Soalan Yang Datang Daripada Majlis Agama Islam Changwad Fathani (Pustaka Abadi, 1393H)
- Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kun al-Jambui melalui kitab asy-Syams ath-Tholi’ah (1381H). Kitab ini diberi kata-kata pujian oleh beberapa orang ulama, antaranya Tuan Guru Haji Ismail Semela, Tuan Guru Haji Wan Nik Kelung Mandi, Tuan Guru Haji ‘Abdul Wahab, Tuan Guru Pak Chu Mat Bendang Guchil, Tuan Guru Haji Che Ahmad, Haji Ismail Qalyubi Belukar Luas, Haji Muhammad Pandak Bermin, Tuan Guru Haji Hasan Muhammad Amin @ Tok Guru Mak Enggol dan Tok Guru Dala. – InsyaAllah, nanti abuzahrah akan bicarakan tentang kitab ini.
- Tuan Guru Haji Ismail al-Tatani daripada Legor melalui kitab beliau Minhaaj as-Saalimiin fi Thoriqah al-Mutaqaddimin – kitab yang diperkatakan ini.
InsyaAllah isu ini akan abuzahrah tulis di dalam tajuknya yang tersendiri.
Kitab Minhaaj al-Saalimiin ini pertama kali diterbitkan oleh Mathba’ah al-Haj Muhammad Idris al-Merbawi, Mesir pada bulan Dhulqaedah 1381H. Kitab ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada seorang ulama besar Melayu yang bermukim di Makkah iaitu Syaikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthalib al-Indonisi al-Mandili. Berikut adalah transliterasi pengiktirafan beliau:الحمدلله, والصلاةوالسلام على عباده الذين اصطفى
أما بعد:
Dengan kurnia daripada Allah Ta’ala, telah hamba dapat menatap akan kitab “Minhaaj al-Saalimin fi Thoriqah al-Mutaqaddimin” yang yang menyusun akan dia oleh murid hamba Fadhilatul Ustaz Ismail bin Ahmad bin Muhammad Salleh at-Tatani al-Langgoori.Maka hamba dapatkan dia mengandung[i] akan beberapa banyak daripada masalah-masalah yang penting yang dikuatkan dengan dalil-dalil yang nyata dan terang.
Mudah-mudahan membalas akan pengarangnya oleh Tuhan kita Yang Maha Kaya dengan sebesar-besar pahala dan sebaik-baik balasan dan membanyakkan ia akan yang seumpamanya. Sesungguhnya Dia sangat berkuasa atas setiap perkara.
Menulis akan dia (oleh)
Sehina-hina dan selekeh-lekeh manusia di Ummu Qura [Makkah]
‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Muttalib Al-Indonesi al-Mandili
Khuwaidim Tholabah al-Ilm asy-Syarif bi al-Haram al-Makki
Tanggal 12 Rabiul Thani tahun 1381Hijrah.
Selain dari perbahasan masalah-masalah yang disebutkan diatas, kitab ini juga memuatkan manaqib ringkas imam mazhab yang empat dan juga sejarah ringkas ulama-ulama besar daripada mazhab yang empat dibahagian akhir kitab.
Kitab ini boleh dikategorikan kitab yang agak susah di Malaysia, namun mungkin masih dijual di kedai-kedai kitab di Fathani didalam bentuk cetakan asli ataupun salinan. والله أعلم. Al-Faqir abuzahrah tidak berhasrat untuk melebarkan perbahasan didalam kitab ini kerana sebenarnya kitab ini telah al-Faqir rumikan dengan penambahan notakaki dan insyaAllah akan al-Faqir paparkan di blog al-Fanshuri sedikit masa lagi. Dan juga di dalam peringkat cadangan untuk diterbitkan di dalam bentuk buku. InsyaAllah.

