Monday, February 9, 2009

Kitab: Syarah Hikam

Data Ringkas Kitab

Judul: Syarah Hikam (Ibn 'Athoillah)
Kategori: Tasawuf
Pengarang: al-‘Arifbillah Syaikh Abdul Malik bin ‘Abdullah (wafat 1149H/1736M)


Kitab ini adalah sebuah kitab tasawuf yang sangat masyhur di Tanah Melayu. Ianya adalah merupakan terjemahan dan syarah oleh seorang ulama besar Alam Melayu iaitu al-‘Arifbillah al-Syaikh ‘Abdul Malik bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi. Atau lebih dikenali dengan nama Tok Pulau Manis. Penterjemah/pengarang sebenar kitab ini tidaklah dapat dipastikan secara muktamad kerana ada yang mengatakan bahwa ianya bukan hasil karya Tok Pulau Manis sebagaimana yang akan al-Faqir bawakan nanti. Namun secara umumnya mengatakan ianya adalah hasil karya Tok Pulau Manis, sehingga ianya dikenali Syarah Hikam Tok Pulau Manis.

Menurut kata seorang guru, kitab ini ada persamaan dengan kitab syarah hikam oleh Syaikhul Islam Syaikh Zakaria al-Anshari. Mungkin saja ianya adalah terjemahannya atau beliau banyak merujuk kepadanya. Walalhu a’lam.

Kitab hikam adalah merupakan satu-satunya kitab syarah hikam Ibn ‘Athoillah yang ditulis dengan tulisan jawi dan dicetak. Sebuah lagi kitab Hikam Ibn ‘Athoillah yang terdapat di dunia Melayu adalah merupakan Terjemahan Matan Hikam sahaja, tanpa ada syarahnya. Dan ianya dikenali dengan nama Hikam Shaghir. Penterjemahnya tidak diketahui. Pada awal kitab tersebut, disebut: “….telah menterjemah akan dia oleh wali Allah bila nizaa’ ( yang tiada dipertikai/dibantahi orang lagi akan kewaliannya), lagi ‘arifbillah lagi shufi …”. Namun ia dipercayai terjemahan oleh ulama Aceh.

Kitab hikam syarah Tok Pulau Manis ini sehingga kini diajarkan di pondok-pondok, masjid-masjid dan surau-surau. Walaupun kini sudah terdapat pelbagai terjemahan atau syarah Hikam Ibn ‘Athoillah, namun kemasyhuran Syarah Hikam Tok Pulau Manis masih tidak dapat ditandingi. Bagi mereka yang pernah mempelajarinya, akan terasa keindahan rahasia yang tersimpan di dalamnya.


Makam Tok Pulau Manis

Tok Pulau Manis adalah merupakan murid kepada Syaikh ‘Abdur Rauf bin ‘Ali al-Fanshuri, seorang ulama terkenal dari Aceh. Beliau juga sempat berguru dengan guru kepada Syaikh Abdurrauf bin ‘Ali al-Fanshuri iaitu Syaikh Ibrahim al-Kurani (wafat 1101H/1690M).

Petikan, muqaddimah Syarah Hikam Tok Pulau Manis
(Kata faqir yang menterjemahkan ini kitab Hikam bagi Syaikh Imam Tajuddin Abul Fadhl Ahmad anak Muhammad anak ‘Abdul Karim anak ‘Athoillah رحمة الله عليهم

(Dan) sanya telah meminta akan aku setengah saudaraku yang saalik bahawa menterjemahkan aku akan dia dengan bahasa jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi. Maka kuperkenankan atas yang demikian itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Ta’ala akan aku. (Dan) adalah memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan syarahnya dengan sekadar kifayah bagi orang yang mubtadi mengetahui dia, dan sanya kupohon kepada Allah Subhanahuwa Ta’ala akan sempurnanya dan akan beroleh manfaat segala orang yang tholib akan dia dalam dunia dan dalam akhirat dengan berkat Sayyidul Mursalin wa aalihi wasahbihi ajmain.


Edisi cetakan Syarah Hikam Melayu yang mula-mula sekali oleh Matba’ah al-Miriyah, Mekah. Ianya diduga dicetak pada tahun 1300H/1882M. Ianya telah ditashhih oleh al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Syaikh Ahmad al-Fathani menulis:

Diterjemahkan dia dengan bahasa Melayu oleh setengah daripada ulama’ as-Shalihin dan tiada hamba dapat ketentuan namanya dengan nash tetapi telah dikhabarkan hamba oleh bad’ (setengah) ath-thiqaat(orang-orang yang dipercayai) bahawa yang menterjemahkan kitab ini Maulana al-‘Allamah al-Himam, al-‘Arif bi Maulaah al-Malik al-‘Allam as-Shalih al-‘Amil al-Wali al-Wasil yang mempunyai maqaamat yang ‘alaih, dan keramat yang masyhurat saniyah, yang dima’rufkan dengan gelaran, Tok Pulau Manis daripada ahli Tarqanu (Terengganu). Afaadallahu Ta’ala ‘alaihim sahaaib ar-rahmah wa ar-ridhwan wa amidnaa bibarakaatihim wa nafahaatihim madiyal azmaan. Aamiin ya rabbal ‘alamin. Aamiin


Kemudian Syaikh Ahmad al-Fathani telah mansukhkan kata-kata diatas didalam cetakan Matba’ah al-Miriyah, Mekah 1302H/1884M. Dibahagian belakang kitab:

Dengan tolong al-Malikul Wahhab. Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustathab, iaitu Syarah Hikam Ibni ‘Athaullah dengan bahasa Melayu. Dan adalah pada tharah kitab ini dahulu hamba sebutkan hal keadaannya nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ulama Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani. Dan selesai men(ge)capkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita ‘Alaihis Shalatu was Salam

Dan kebanyakkan cetakan kebelakangan adalah berdasarkan kepada cetakan pada tahun 1300H/1882M. Maka kerana itulah ianya ramai yang mengatakan bahwa karya ini adalah hasil dari Tok Pulau Manis. Dan ada yang mengatakan bahwa berkemungkinan Tok Pulau Manis menggunakan beberapa perkataan Aceh kerana beliau pernah lama berguru dengan ulama besar Aceh iaitu Syaikh ‘Abdurrauf ‘Ali al-Fanshuri. Maka sahlah ianya karangan beliau. Wallahu a’lam.

Al-Faqir lebih cenderung mengatakan kitab ini karangan Tok Pulau Manis. Wallahu a’lam. Kesimpulannnya, walau siapapun pengarang kitab ini, yang pasti kitab ini amat bermanfaat bagi seorang salik dan sangat baik untuk dipelajari, sebagaimana puisi yang ditulis oleh Syaikh Ahmad al-Fathani yang terdapat dibahagian depan semua cetakan kitab tersebut.

Kitab ini yang patut mengajinya * Dan u[m]pama [e]mas yang sudah diujinya
Dan u[m]pama pula makanan di[h[idang * Dan yang lain itu tudung sajinya
Dan u[m]pama pula buah-buahan * Isinya dan minyak dalam bijinya
Karena ialah yang menyampai kepada Tuhan * Lagi besar pahalanya dan kajinya
Dan yang dapat ilmunya dan mengamalkan * Orang itulah sebenar dipujiNya
Syurga itulah kediaman yang kekal * Ilmu ini pintunya dan bajinya
Dan yang jahil dengan dia api neraka * Selar, sengat, tikamnya gergajinya
Ya rabb kurnia akan futuh Engkau * Bagi tiap-tiap hamba mengajinya





0 comments: