Tuesday, November 18, 2008

Kitab: Risalah Fath al-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali al-Raslan

Data ringkas kitab:
Tajuk: Risalah Fath al-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali al-Raslan

(رسالة فتح الرحمن بشرح رسالة الولي الرسلان)
Kategori: Tasawuf
Pengarang: Syaikh Muhammad Arsyad bin ‘Abdullah al-Banjari
Jumlah halaman: 91 halaman
Penerbit: Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur
Tahun Penerbitan: 2006 (merupakan penerbitan semula. Kitab ini sudah lama tiada dipasaran atau mungkin tidak pernah dicetak samasekali. Wallahu a’lam )
Size kitab: 17cm x 25cm
Harga: RM 9.00



Terdapat 3 buah kitab hikam yang terkenal di alam Melayu iaitu Hikam Ibn ‘Athoillah, Hikam Abi Madyan, dan Hikam Ibn Raslan. Manakala Hikam Syaikhul Akbar Ibn ‘Arabi, Hikam al-Ilahiyyah oleh Syaikh Musthafa Kamaluddin al-Bakri al-Khalwati, Hikam Syaikh Ahmad al-Rifai, Hikam Imam Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad dan Hikam Syaikh Mahmud al-Kurdi al-Khalwati tidak terkenal dirantau ini. Mungkin kerana kitab-kitab hikam berkenaan tidak diterjemahkan ke bahasa Melayu.


Yang akan diperkenalkan kali ini adalah kitab Hikam Ibn Raslan. Kitab ini adalah sebuah kitab tasawwuf yang diterjemahkan [terjemahan secara harfiyah dimana teks arabnya diberi terjemahan melayunya dengan tulisan jawi dan kakta-kata yang susah difahami diberi keterangan pada bahagian tepinya] ke bahasa Melayu oleh seorang ulama tersohor iaitu al-‘Arifbillah Syaikh Muhammad Arsyad ‘Abdullah al-Banjari yang harum namanya di Nusantara. Di Banjar, khususnya di Martapura, beliau lebih dikenali dengan nama Datuk Kelampayan. Beliau juga adalah merupakan pengajarang sebuah kitab fiqih yang besar dan lengkap didalam bahasa melayu iaitu kitab Sabil al-Muhtadin. Kitab terjemahan hikam ini diberi nama Risalah Fath al-Rahman bi Syarh Risalah al-Wali al-Raslan. Namun kitab ini lebih dikenali dengan nama kitab Hikam Ibn Raslan. Selain beliau hikam Ibn Raslan ini juga di disyarahkan oleh Syaih Yusuf Tajul al-Khlawati (didalam bahasa ‘arab) dan juga Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani. Namun kedua-duanya masih didalam bentuk manuskrip.

Sedikit pengenalan Risalah al-Wali al-Raslan
Kitab Risalah al-Wali ar-Raslan adalah sebuah kitab berbahasa arab karangan Syaikh Raslan ibn Ya’qub ibn Abdurrahman ibn Abdullah ad-Dimasyqi. Nasabnya bersambung dengan seorang shahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم iaitu Sayyiduna Jabir bin ‘Abdullah al-Anshori رضي الله عنه. Beliau adalah seorang ulama bermazhab Syafie. Perkataan Raslan adalah berasal dari perkataan Turki ‘Arsalan’ yang bermaksud singa iaitu melambangkan keberanian. Syaikh Raslan berkerja sebagai seorang pedagang kayu di Damsyiq. Ma’ruf sebagai seorang ahli ‘ibadah dan seorang yang dikurniakan berbagai karamah. Beliau juga seorang penyair yang hebat. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani menyebut didalam kitabnya Jami’ Karamaatil Auliya’: Beliau merupakan salah seorang daripada rijal yang unggul, imam ahli ‘arifin, khawas para wali dan insan pilihan dari kalangan insan-insan pilihan Allah.

Beliau ditarbiah oleh gurunya iaitu Syaikh Abu ‘Aamir al-Muaddib. Syaikh Raslan wafat pada tahun 541H, ada ada pendapat lain pada 560H (menurut Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani) di Damsyiq.

Untuk pengetahuan, Syaikh Raslan ini bukannya Ibn Ruslan pengarang kitab Matan Zubad. Pengarang Matan Zubad adalah Abu Abbas Ahmad bin Hussein bin Arsalan ar-Ramli. Beliau wafat pada tahun 841H di Baitulmaqdis dan dikebumikan disana. [Jami’ Karamaatil Auliya’]

Kitab Risalah al-Wali ar-Raslan ini telah disyarahkan oleh seorang ulama yang faqih lagi shufi bernama Syaikh Abu Yahya Zakaria ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Zakaria al-Anshari al-Misri. Kitab syarah ini diberi nama Fath ar-Rahman. Syaikh Zakaria al-Anshari dilahirkan pada tahun 823H di Sanikah, Syarqiyah Mesir dan wafat pada tahun 926H. Beliau merupakan ulama besar di dalam mazhab Syafie dan digelar Syaikhul Islam. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani menyebutkan bahwa beliau adalah Syaikhul Islam, salah seorang ketua ulama ‘amilin, auliya ‘arifin dan ulama besar yang menjadi pegangan umat Islam dalam ilmu fiqh dan tasawuf. Beliau menulis: “…..Adapun kemudian daripada itu, maka bahwasanya ilmu tauhid itu terlebih mulia daripada segala ilmu. Diantara kitab karangan paling mulia yang menyentuh mengenainya ialah ar-Risalah ar-Raslaniyah karangan ‘arifbilLahi Ta’ala Syaikh Raslan yang berasal dari Damsyiq. Semoga Allah Ta’ala memperelokkan quburnya dan menjadikan syurga akan tempat kembalinya

Seterusnya kitab Fath ar-Rahman ini disyarahkan pula oleh Syaikh ‘Ali ibn ‘Atiyyah ‘Alawaan al-Hamawi. Selain itu kitab Risalah at-Tauhid Shaikh Raslan juga disyarahkan oleh Syaikh Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi di dalam kitabnya Khamratul Haan wa Rannatul Alhaan.

Alhamdulillah, al-Faqir telahpun selesai mentransliterasikan kitab Risalah Fath al-Rahman bi Syarh al-Wali al-Raslan dari jawi kepada rumi atas permintaan beberapa rakan. Pada mulanya al-Faqir bercadang untuk kongsikan di blog al-Fanshuri, namun memandangkan pokok perbahasannya yang tidak sesuai untuk tatapan umum, maka al-Faqir memutuskan untuk memberhentikannya.

Kitab ini sebelumnya tiada di kedai-kedai kitab, mungkin kerana ia tidak pernah dicetak ataupun sudah tidak dicetakkan lagi. Namun diatas usaha Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir, kitab ini diterbitkan semula oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur. Untuk mendapatkannya, bolehlah menghubungi alamat berikut:

Khazanah al-Fathaniyah
No.38, Jalan Batu Geliga Satu, Taman Melewar
68100 Batu Caves, Gombak
Tel: 03 – 61897231 atau hubungi
Ustaz Abdul Halim Mohamad 013 -3564496



0 comments: