Thursday, February 24, 2011

Kitab: asy-Syams ath-Tholi'ah li Naskh al-Kawakib an-Niirah (الشمس الطالعة لنسخ الكواكب النيرة)

Judul: al asy-Syams ath-Tholi'ah li Naskh al-Kawakib an-Niirah li Naskh al-Kawakib an-Niirah (الشمس الطالعة لنسخ الكواكب النيرة)
Kategori: Fiqih
Pengarang: Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kub al-Jambui
Jumlah halaman: 116 halaman
Tarikh selesai dikarang: Hari Selasa, 7 Muharram 1381H


Kitab ini ditulis oleh Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kub al-Jambui berikutan isu yang tercetus hasil dari penulisan sebuah kitab bertajuk al-Kawakib an-Niiraat fi Raddi Ahl al-Bid’i wa al-‘Aadaat (الكواب النيرات في رد أهل البدع و العادات) oleh Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun. Isu hangat ini tercetus pada awal dekat 60an dimana Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun telah memfatwakan bahwa buat kenduri makan kematian adalah bid’ah makruhat malah di dalam sesetengah keadaan menjadi bid’ah muharramah. Selain dari isu tersebut, turut juga menjadi isu ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan kematian seperti tunggu kubur, membina bangunan atas kubur dan lain-lain lagi. Menurut Tuan Guru Haji ‘Abdullah di dalam kitabnya itu, semua ini adalah tidak lebih dari bid’ah mazmumah atau munkarat yang dholalah.

Diringkaskan kisah, hasil dari pandangan beliau ini maka bangunlah ulama-ulama Fathani untuk menyanggah pendapat tersebut di dalam bentuk penulisan. Antara ulama yang menulis untuk menyanggah kitab Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Kebun ialah:

  • Tuan Guru Haji Ahmad bin ‘Abdul Wahab al-Fusani melalui kitab beliau berjudul Khulasah al-Mardiyyah fi Masail al-Khilafiyah (Pustaka Press, 1389H) dan Kejelasan Buat Makan Kematian (tanpa tarikh) – InsyaAllah akan diperkenalkan kitab ini nanti.
  • Tuan Guru Baba Yeh Tok Jong – Ini Beberapa Jawapan Yang Bagus Pada Soalan Yang Datang Daripada Majlis Agama Islam Changwad Fathani (Pustaka Abadi, 1393H)
  • Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kub al-Jambui melalui kitab asy-Syams ath-Tholi’ah (1381H). Kitab ini diberi kata-kata pujian oleh beberapa orang ulama, antaranya Tuan Guru Haji Ismail Semela, Tuan Guru Haji Wan Nik Kelung Mandi, Tuan Guru Haji ‘Abdul Wahab, Tuan Guru Pak Chu Mat Bendang Guchil, Tuan Guru Haji Che Ahmad, Haji Ismail Qalyubi Belukar Luas, Haji Muhammad Pandak Bermin, Tuan Guru Haji Hasan Muhammad Amin @ Tok Guru Mak Enggol dan Tok Guru Dala. – kitab yang diperkatakan ini
  • Tuan Guru Haji Ismail al-Tatani daripada Legor melalui kitab beliau Minhaj as-Saalimiin fi Thoriqah al-Mutaqaadimin.

Sebagaimana disebut di atas, kitab ini diberi kata-kata pujian oleh beberapa orang ulama, antaranya Tuan Guru Haji Ismail Semela, Tuan Guru Haji Wan Nik Kelung Mandi, Tuan Guru Haji ‘Abdul Wahab, Tuan Guru Pak Chu Mat Bendang Guchil, Tuan Guru Haji Che Ahmad, Haji Ismail Qalyubi Belukar Luas, Haji Muhammad Pandak Bermin, Tuan Guru Haji Hasan Muhammad Amin @ Tok Guru Mak Enggol dan Tok Guru Dala.

Pada muqaddimah kitab ini, pengarang mengatakan:

(wa ba’d) maka ini risalah yang kecil, penawar bagi segala saudara-saudara yang masih sakit sekarang di dalam cara-cara kematian. Hamba menerang dengan dia akan masail-masail yang bersangkut paut dengan berjamuan bagi orang-orang mati yang telah menjatuh hukumannya oleh Guru Haji ‘Abdullah Bendang Kebun di dalam kitabnya – الكواكب النيرات في رد أهل البدع والعادات – supaya mengetahui kan dia oleh saudara dan saudari dengan sepenuh-penuh hati di dalam masa berpecah belah dan kucar kacir sekarang ini pada tahun 1380H. begitulah perkara terjadi di akhir zaman daripada nusus dan perkataan ‘ulama yang mu’tabarin yang hamba mendatangkan dia di dalamnya. Maka senanglah ber’amal mereka itu akan apa-apa perkara yang tertegah dan tidaknya dan tiada jadi واويه hati lagi kemana-mana. Dan hamba penamakan dia (الشمس الطالعة لنسخ الكواكب النيرة) ertinya Matahari Yang Terbit Terpancar Bagi Menghilangkan Segala Bintang Cerah Yang Bersinar……………..


Mulahadzoh al-Ula
Ketahui olehmu hai saudaraku sanya perkataan tuan pengarang atas nama kitabnya (الكواكب النيرات) tidak betul dengan ‘iktibar afshah al-kalam kerana padanya menyalahi qaedah nahu pada lafaz – النيرات – dengan jama’ dan sungguhnya yang betulnya – النيرة – dengan mufrad kerana ia sifat bagi al-kawakib yang ia jama’ menempati mufrad kerana qaedah tiap-tiap jama’ yang tidak ber’aqal dimenempatikan dia tempat mufrad. Maka susunan ‘ibarat yang betulnya begini bunyinya (الكواكب النيرة). Dan dalil atasnya ‘ibarat ajrumiyyah لاختلاف العوامل الداخلة عليها, maka tiada berkata ia – الداخلات عليها -  …….

Sedikit biodata pengarang kitab ini (insyaAllah akan diperkenalkan nanti di laman kenalilah ulama.

Beliau adalah Tuan Guru Haji Wan ‘Ali bin Wan Ya’kub al-Jambui ash-Shaulatiy. Lahir di Pekan Jambu, daerah Yaring pada 6 Oktober 1915. Mendapat pendidikan awal di sekolah dasar kerajaan. Kemudian mengikuti pengajian pondok di Kelantan Darul Naim (menurut sesetengah cerita). Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Makkah di Madrasah Shaulatiyyah selama 12 tahun. Beliau lulus di peringkat tsanawi (1360H) dan ‘aliy (1362H) dengan darjat kepujian (jayyid). Selain itu beliau juga belajar kepada Syeikh Pak Da Eil (Tuan Guru Syeikh Wan Ismail abin Wan ‘adul Qadir al-Fathani al-Makki). Antara kitab yang beliau baca dengan Pak Da Eil adalah kitab Tahrir. Sekitar tahun 1945/46 beliau kembali ke Fathani dan membuka madrasahnya sendiri.

Antara guru-guru beliau ketika di Makkah adalah: Syeikh Umar Hamdan al-Mahrasi, Syeikh ‘Abdullah al-Bukhari, Syeikh Hasan Masyath, Syeikh Mukhtar Makhdum Bukhari, Syeikh Zakaria Bila, Sayyid Hasyim Syata’, Syeikh Umar Kurdi, Sayyid Abu Bakar al-Bar al-Hadhrami, Syeikh Daud Raman al-Fathani,  Syeikh’ Abdul Qadir Ilyas al-Makki, Syeikh Khalilul Rahman al-Hind, Sayyid ‘Alawi al-Maliki, Syeikh Ibrahim Daud al-Fathani, Pak Da Eil Semela, Haji ‘Abdurrahman Sekam (kemudiannya menjadi mertua beliau) dan lain-lain

Beliau meninggal dunia pada jam 12.30 tengahari Selasa, 18 Dhulqaedah 1415/ 18 April 1995 pada usia lebih daripada 80 tahun.


Sekian dari
Al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Jum’at, 22 Rabi’ulAwwal 1432H/25 Februari 2011

Wednesday, February 23, 2011

Kitab: al-Jawahir as-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah


Judul: al-Jawahir as-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah
( الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية)

Kategori: Aqidah/Feqah/Tasawwuf

Pengarang/Penterjemah: Al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani asy-Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله

Tarikh selesai dikarang/diterjemah: Waktu Dhuha, hari Itsnain, 16 Jamadilawwal 1252H/1836M, di Thaif.


Kandungan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan sendiri oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله:
Dan adapun kemudian daripada itu, maka sungguhnya ini suatu terjemah yang tiada dapat tiada orang yang berkehendak bahgia dunianya dan akhiratnya daripada mengetahui ia akan dia daripada segala kanak-kanak yang mubtadi barang yang wajib bagi Allah Subhanahuwa Ta’ala dan barang yang mustahil atasNya dan barang yang harus bagiNya. Demikian lagi seperti demikian itu wajib pada hak segala pesuruhNya, demikian lagi wajib pula mereka itu barang yang ta’alluq dengan sam’iyyat dan demikian lagi tak dapat tiada daripada hukum furu’ syariat yang dituntut atas mukallaf daripada hukum ‘ibadat dan hukum mu’amalat dan barang yang bergantung dengan keduanya dan hukum berkahwin dan barang yang bergantung dengan dia dan hukum jinayah dan yang bergantung dengan dia dan hukum diat dan hudud dan sair dan jihad dan qadhi dan dakwa baiyinaat dan I’tiqad dan hukum suluk ila mulk al-muluk. Hamba sebutkan dengan jalan ikhshor sekira-kira dapat faham oleh mubtadi umum orang yang awam umat al-Muhammadiah yang munasabah bagi orang yang mubtadi yang dungu yang seumpama dengan yang menterjemahkan kitab ini yang bernama:
 الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية
ertinya yang bernama terjemah ini jawaahirus saniyyah pada menyatakan beberapa i’tiqad yang tinggi yakni yang sebenar-benarnya dan beberapa hukum fiqhiyyah yang diredhaiNya yang disukakan Dia dan jalan suluk tariqat penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.

Kitab ini ditashhihkan dan dicetak oleh Syaikh Daud bin Ismail al-Fathoni berdasarkan kepada naskhah tulisan tangan Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله. Walaupun kitab ini sudah berusia 180 tahun, namun ianya masih sangat-sangat relevan untuk dijadikan teks pengajian di masjid-masjid atau surau-surau, terutamannya di kala tersebarnya fahaman yang mengatakan Allah bertempat, anti-mazhab, anti tarekat tasauf dan sebagainya. Kitab ini adalah berteraskan kepada aqidah dan pegangan ahlussunnah wal jamaah.

Didalam kitab ini Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni رحمه الله ada menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat.

Mengenai orang yang mengatakan bahwa Allah Ta’ala bertempat, beliau berkata:

Dan barangsiapa menghinggakan dzat Allah Ta’ala pada tempat maka tiada syak ia kafirnya seperti katanya Allah Ta’ala itu terhingga di atas langit atau pada bumi dan barangsiapa menyabitkan bagi Allah jihat (arah) dengan ketiadaan dihinggakan dengan tempat yang tertentu maka tiada kafir, tetapi fasiq jua seperti berkata ia, Allah pada langit atau pada bumi dengan tiada terhingga pada tempat dan atas yang demikian itu ……..

(Kata Imam) Syafi’e نور الله ضريحه  barangsiapa meninggalkan 4 perkara ini sempurna imannya dian iaitu kam (كم) dan kaif (كيف) dan mata (متى) dan aina (أين). (Maka adapun) ‘kam’, maka ditanyakan dengan dia menuntut kenyataan bilangan, maka jika dikata orang bagimu ‘كم الله’ yakni berapa Allah? Maka jawab olehmu Waahid yakni Esa pada dzatNYa dan pada sifatNya dan pada af’alNya. (Dan kaif) itu ditanya dengan dia daripada kaifiat, maka jika dikata orang bagimu ‘كيف الله؟’ yakni betapa Allah? Maka jawab olehmu tiada mengetahui seorang akan haqiqat dzat Allah melainkan Ia jua. (Dan mata) itu tiada dengan Dia daripada zaman. Maka jika dikata orang bagimu ‘متى الله؟’ ertinya manakala di dapat allah? Maka jawab olehmu Allah itu awalNya tiada permulaan dan akhirnya tiada kesudahan. (Dan aina) tiada dengan Dia daripada makan (tempat). Maka jika dikatakan orang bagimu ‘أين الله؟’. Maka jawab olehmu, Allah itu tiada bertempat dan tiada dilalu atasNya masa, kerana zaman dan makan itu baharu keduanya ……

Menurut beliau رحمه الله juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir).

Kata beliau رحمه الله, pada halaman 34 – 35:

“Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat, lontarkanlah ia daripada dirimu.

“Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.”  

Monday, February 21, 2011

Kitab: Mawahib Rabb al-Falaq Syarah Bint al-Miilaq

Pengenalan - Kitab Mawahib Rabbil Falaq Syarh Qashidah Bint al-Miilaq

Mawabib Rabbil Falaq Syarh Bintil Miilaq adalah sebuah kitab yang kandungannya membicarakan tasawuf. Ianya merupakan terjemahan dan syarah kepada Qashidah Bintil Milaq asy-Syazili, iaitu al-‘Arifbillah al-Qadhi Nashir ad-Diin Abu ‘Abdillah Muhammad ibn ‘Abd ad-Daaim ibn Muhammad ibn Salaamah ibn Bint al-Mailaq asy-Syafie asy-Syadhuli, ma’ruf dengan panggilan Ibn Bint al-Mailaq (731 – 797H/ 1331 – 1395M). Beliau menerima thariqah Syadhuli daripada datuknya, dan datuknya menerimanya daripada asy-Syeikh Yaaquut al-‘Arsy, dan asy-Syeikh Yaaquut menerimanya daripada Asy-Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi dan asy-Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi menerima daripada al-Quthub asy-Syeikh Abu al-Hasan asy-Syadhuli.

Qashidah Bintil Miilaq asy-Syazili disyarahkan oleh asy-Syeikh Ahmad bin Ibrahim bin ‘Allan ash-Shiddiqi an-Naqsyabandi al-Makki (975 – 1033H) - [1]. Dan kitab Mawahib Rabbil Falaq Syarh Qashidah Bint al-Miilaq ini adalah merupakan sebahagian daripada terjemahan kepada syarah tersebut. Walaupun, sebahagian besar kandungan kitab ini membicarakan Thariqat Syaziliyah, namun syarahnya banyak menyentuh perjalanan thariqah Naqsyabandiyah. Kitab ini termasuk dalam kategori kitab nadir, telah lama tidak terdapat dalam pasaran kitab.

Walaubagaimanpun, di atas usaha gigih al-Muarrikh Tuan Guru Syeikh Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan 'Abdullah, beliau berjaya memperoleh kitab ini pertama sekali daripada bekas milik Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid, Pinang Baik, Selayang, Selangor Darul Ehsan, tarikh 28 Rejab 1417 Hijrah/9 Disember 1996 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah Makkah al-Mahmiyah, pertengahan Zulkaedah 1306 Hijrah. Dan seterusnya, Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir menerbitkan semula kitab ini agar generasi kini dapat memiliki dan mempelajari kembali khazanah ilmu ulama Alam Melayu yang tidak ternilai ini.


Pengenalan: Penterjemah Kitab Mawahib Rabbil Falaq Syarh Qashidah Bint al-Miilaq, Syeikh Ismail al-Minankabawi.

Syeikh Isamil al-Minankabawi - Penyebar Thariqah Naqsyabandiyah al-Khalidiyah Pertama
Oleh: Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan 'Abdullah

KEDATANGAN Syeikh Ismail al-Minankabawi dari Mekah ke Kerajaan Riau-Lingga dan Semenanjung Tanah Melayu, pernah diungkapkan dengan panjang lebar oleh Raja Ali Haji dalam karyanya, Tuhfatun Nafis. Masih dalam penyelidikan awal, pada tahun 1985 saya menyusun sebuah buku berjudul, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi Penyiar Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah, cetakan pertama C.V Ramadhani, Solo, Mac 1985. Buku tersebut dirujuk dan dipetik oleh ramai penulis. Tulisan saya yang sekarang merupakan hasil penelitian yang terkini, setelah menemui pelbagai karya Syeikh Ismail al-Minankabawi. Beberapa kekeliruan pada penyelidikan awal diperbetulkan dalam artikel ini. Sebelum tulisan ini saya teruskan, terlebih dulu saya perlu menyatakan bahawa saya tidak sependapat dengan tahun andaian atau tahun dugaan kewafatan Syeikh Ismail al-Minankabawi yang termaktub dalam Ensiklopedi Islam, 2 Indeks, cetakan pertama, 1994, hlm. 55-56. Menurut Ensiklopedi Islam tersebut bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi lahir pada tahun 1125 Hijrah dan wafat pada tahun 1160 Hijrah.

Sanggahan saya adalah sebagai berikut, bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi jauh lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (gurunya). Kelahiran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani ada yang menyebut tahun 1133 Hijrah/ 1720 Masihi, 1153 Hijrah/1740 Masihi dan 1183 Hijrah/1769 Masihi. Yang pasti pula, sewaktu masih kanak-kanak Syeikh Ismail al-Minankabawi dibawa oleh ayahnya berpindah ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi. Ulama ini hidup dalam tahun 1196 Hijrah/1781-2 Masihi - 1265 Hijrah/ 1848 Masihi. Oleh sebab Syeikh Ismail al-Minankabawi adalah murid Syeikh Utsman ad-Dimyathi, maka tahun kelahirannya dapat kita bandingkan dengan tahun kelahiran beberapa orang murid Syeikh Utsman ad-Dimyathi yang lain, seumpama Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan yang lahir tahun 1232 Hijrah/1816 Masihi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah, lahir tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi, dan lain-lain.

Jadi jelaslah bahawa tahun 1125 Hijrah/1713 Masihi yang dinyatakan tahun kelahiran Syeikh Ismail al-Minankabawi itu adalah ditolak berdasarkan fakta sejarah. Daripada semua karya Syeikh Ismail al-Minankabawi yang ditemui, ternyata yang tercatat tahun selesai penulisan hanya sebuah saja, iaitu Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah yang diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Ini sudah cukup untuk menyanggah kenyataan bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi wafat pada tahun 1160 Hijrah/1747 Masihi itu, bahkan beliau masih hidup hingga tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Menurut tulisan Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair dalam Nasyrun Naur waz Zahar, bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi wafat melangkaui tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi.

PENDIDIKAN - Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair meriwayatkan bahawa Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi al-Khalidi asy-Syafi'ie lahir di Minangkabau (tanpa menyebut tahun). Sejak kecil beliau mengikut ayahnya pindah ke Mekah al-Musyarrafah. Beliau belajar pelbagai ilmu kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi. Setelah ulama besar itu wafat, Syeikh Ismail Minangkabau belajar pula kepada Syeikh Ahmad ad-Dimyathi. Selain kedua-dua ulama itu, Syeikh Ismail Minangkabau juga belajar kepada ulama-ulama lain dalam Masjidil-Haram, Mekah, dan Syeikh Ismail Minangkabau sempat belajar kepada Mufti Mazhab Syafie ketika itu, iaitu Syeikh Muhammad Sa'id bin Ali asy-Syafi'ie al-Makki al-Qudsi (wafat 1260 Hijrah/1844-5 Masihi). Ulama dunia Melayu yang menjadi gurunya, yang dapat diketahui secara pasti hanyalah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Mengenai Thariqat Naqasyabandiyah al-Khalidiyah, Syeikh Ismail al-Minankabawi menerima baiah dan tawajjuh daripada Sayyid Abi Abdillah bin Abdullah Afandi al-Khalidi, murid Syeikh Khalid al-'Utsmani al- Kurdi. Pada waktu yang lain, Syeikh Ismail al-Minankabawi juga menerima baiah dan tawajjuh secara langsung daripada Syeikh Khalid al-'Utsmani al-Kurdi. Dari mula nama inilah terdapat istilah al-Khalidiyah dalam Thariqat Naqasyabandi kerana Syeikh Khalid al-'Utsmani al-Kurdi adalah seorang Mujaddid (pembaharu) dalam tarekat yang sangat terkenal itu.

Tercatat dalam sejarah bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi adalah seorang ulama yang sangat kuat melakukan ibadah, selain aktif beramal dengan Thariqat Naqasyabandiyah Khalidiyah dan Thariqat Syaziliyah, beliau aktif mengajar, mengarang, tilawah al-Quran, pelbagai wirid dan zikir sama ada siang mahu pun malam sehinggalah beliau wafat di Mekah tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi. Tidak tercatat sesuatu pekerjaan yang dilakukannya sepanjang siang dan malam selain yang tersebut itu.

PENULISAN - Karya Syeikh Ismail al-Minankabawi berupa kitab mahu pun risalah, yang ditemui adalah sebagai berikut: 
 
Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah, diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf, khusus mengenai rabithah secara mendalam. Kitab ini merupakan terjemahan sebuah karya murid beliau sendiri, seorang Arab yang bernama Syeikh Husein bin Ahmad ad-Dausari yang meninggal dunia dalam tahun 1242 Hijrah dalam usia hanya 39 tahun. Daripada terjemahan kitab ini, kita banyak memperoleh informasi tentang diri Syeikh Ismail al-Minankabawi. Di antara petikan kalimatnya, ``Dan adalah demikian itu, dengan mengerjakan yang dia yang amat hina Ismail ibni Abdullah, yang Syafie mazhabnya, al-Asy'ari akidahnya, yang Syazili thariqatnya, kemudian lagi Naqsyabandi al-Khalidi thariqatnya juga, yang menumpang ia atas ahli ilmi di dalam tanah haram yang Makki, yang maha mulia ia. Barang ditobatkan (oleh) Allah juga atasnya dan maaf daripada-Nya oleh Tuhannya yang amat murah, lagi amat penyayang. Dan adalah demikian itu di dalam Kampung Teluk Belanga dengan pertolongan Syah Amir yang dibesarkan dan ikutan yang dimuliakan ialah Amir Ibrahim bin al-Marhum Amir Abdur Rahman at-Tamanqum Seri Maharaja.'' Yang dimaksudkan dengan perkataan `at-Tamanqum' ialah Temenggung. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, akhir Jamadilawal 1325 Hijrah, diusahakan oleh Syeikh Abdullah al-Baz.
 
Risalah Muqaranah Sembahyang, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan niat sembahyang. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Bahiyah al-Mashriyah, 1309 Hijrah. Dicetak atas zimmah Umar bin Khathib Abdus Shamad al-Jawi, Jiyad. Selanjutnya ada cetakan pertama yang dikombinasi cetak dengan Bulughul Maram karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1310 Hijrah.
 
Kifayatul Ghulam fi Bayani Arkanil Islam wa Syurutihi, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan fikah bahagian rubu' ibadat. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di antaranya oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1340 Hijrah. Kitab ini ditashih oleh beberapa orang di antaranya, Haji Abdullah bin Ibrahim al-Qadhi (Kedah).
 
Al-Muqaddimatul Kubra allati Tafarra'at minhan Nuskhatus Shughra, tanpa tarikh. Hanya terdapat tahun selesai penyalinan naskhah pada hari Selasa, sesudah sembahyang Zohor pada 15 Jamadilawal 1305 Hijrah di Mekah oleh `Abdus Shamad Kelantan. Kandungannya membahas ilmu akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara mendalam. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Amiriyah, Bulaq, Mesir, tertulis di halaman depan dinyatakan tahun 1309 Hijrah, dan di halaman akhir dinyatakan Rabiulakhir 1310 Hijrah. Di bahagian tepi dicetak kitab berjudul Muqaddimatul Mubtadin oleh pengarang yang sama. Pada halaman akhir dicatat sebagai penjual ialah Syeikh Abdullah al-Baz di Kampung Babus Salam, Mekah. Kitab ini ditashih Syeikh Ahmad al-Fathani.
 
Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan pada hari Rabu 30 Safar, sesudah sembahyang Zohor, tanpa menyebut tahun. Kandungannya membahas ilmu akidah secara mendalam. Dicetak di bahagian tepi kitab Al-Muqaddimatul Kubra.
 
Mawabib Rabbil Falaq Syarh Bintil Miilaq. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan terjemahan dan syarah Qashidah al-'Arif Billah al-Qadhi Nashiruddin ibni Bintil Milaq asy-Syazili. Sebahagian besar kandungannya membicarakan Thariqat Syaziliyah. Kitab ini termasuk dalam kategori kitab nadir, telah lama tidak terdapat dalam pasaran kitab. Saya memperoleh kitab ini pertama sekali daripada bekas milik Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid, Pinang Baik, Selayang, Selangor Darul Ehsan, tarikh 28 Rejab 1417 Hijrah/9 Disember 1996 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah Makkah al-Mahmiyah, pertengahan Zulkaedah 1306 Hijrah.
 
KESIMPULAN - Sewaktu Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi wafat, beliau meninggalkan dua orang anak yang menjadi ulama, iaitu Syeikh Azhari (wafat 1303 Hijrah/1886 Masihi) dan Syeikh Muhammad Nur (1313 Hijrah/ 1895-6 Masihi). Syeikh Azhari bin Syeikh Ismail al-Minankabawi ketika wafat meninggalkan dua orang anak; Salim dan Ismail. Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi pula memperoleh dua anak perempuan. Salah seorang daripadanya menjadi isteri kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Azhari, tokoh tajdid yang sangat terkenal itu.

Kedua-dua anak Syeikh Ismail al-Minankabawi yang tersebut meneruskan aktiviti beliau, di rumah pusaka beliau yang dinamakan Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah, menjadi tumpuan atau tempat berkumpul orang-orang yang berasal dari dunia Melayu, terutama Ikhwanut Thariqah dan Kerabat Diraja Riau-Lingga. Bahawa Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah itu dibina, dimulai oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi sendiri, dan sewaktu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji ke Mekah pada tahun 1243 Hijrah/1828 Masihi, beliau menghulurkan dana wakaf yang banyak kepada Syeikh Ismail al-Minankabawi. Dana wakaf tersebut kemudian diteruskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau-Lingga, para murid beliau.

Murid Syeikh Ismail al-Minankabawi daripada golongan elit Kerajaan Riau-Lingga sangat ramai, sama ada pimpinan tertinggi kerajaan, golongan cerdik pandai mahu pun golongan lainnya. Di antara mereka seumpama Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-IX, Raja Ali Haji, pengarang Melayu yang sangat terkenal dan lain-lain.

Kesimpulan dari seluruh perbincangan bahawa Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah di dunia Melayu, dimulai oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi di Mekah, kemudian beliau sendiri datang mendirikan pusat-pusat penyebarannya di Istana Pulau Penyengat, Riau, di Istana Temenggung Ibrahim di Teluk Belanga, Singapura, di Kampung Semabok, Melaka dan Kampung Upih di Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya.

Notakaki:
[1] - Antara karya beliau yang lain adalah: Syarah Risalah Syeikh Raslan, Risalah fi Thariqah an-Naqsyabadiyyah, Syarah Qashidah as-Suudi, Syarah Hikam al-‘Athoiyyah, Syarah Qashidah Asy-Syahrazuuri dan lain-lain.

Untuk pengetahuan, beliau bukanlah Ibn ‘Allan ash-Shiddiqi, pengarang kitab Dailul Faalihin li Thuruq Riyadh ash-Sholihin. Pengarang kitab tersebut adalah Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad bin ‘Allan bin Ibrahim bin Muhammad bin ‘Allan al-Bakri ash-Shiddiqi al-asy-Syefie al-Makki (996 – 1057H). Antara karangan beliau: I’laam al-Ikhwan bi Tahrim ad-Dhukhaan, al-Futuhaat ar-Rabbaniyyah fi Syarh al-Adzkar an-Nawawiyyah, Fath al-Fattah fi Syarh al-Idhoh, Syarah Mandzumah as-Sayuthi dan pelbagai karya lagi.


Sekian. والله أعلم
al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
10 JumadilUla 1431H

Kitab: Muhimmaat an-Nafaasi fi Bayan Asilah al-Haadits

Maklumat ringkas tentang kitab

Judul kitab:
Muhimmaat an-Nafaais fi Bayan Asilah al-Haadits

 

Kategori: Fiqih ( di dalam bentuk soal-jawab)
 

Pengarang: Syeikh 'Abdus Salam bin Idris al-Asyi (dari Acheh)
 

Jumlah halaman: 71 halaman
 

Tarikh selesai dikarang: Selesai disusun pada hari Sabtu, 25 Shafar 1305H

********


Kitab ini adalah  merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan soal-jawab dan fatwa daripada mufti Makkah (pada mazhab Syafie dan Hanafi) dan ulama-ulama besar Makkah dan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Terkandung di dalamnya beberapa masalah yang ganjil-ganjil (yakni yang jarang-jarang berlaku).

Antara ulama besar yang menjawab persoalan di dalam kitab ini adalah al-'Alim al-'Allamah al-'Arifbillah as-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, al-'Alim al-'Allamah Syeikh Muhammad Sa'id  bin Muhammad Ba'Bashil,  al-'Alim al-'Allamah Syeikh Muhammad Hasbullah bin Sulaiman al-Makki, al-'Alim al-'Allamah Syeikh 'Abdurrahman bin 'Abdullah Siraj al-Hanafi (mufti mazhab Hanafi di Makkah) dan al-'Alim al-'Allamah Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdurrahman al-Fathani.




Friday, January 21, 2011

Sudah Terbit: Buku Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama - Inilah Jawapannya. Tempah Segera Sebelum Kehabisan Stok!


 Di dalam buku ini, dikumpulkan persoalan-persoalan yang bersifat khilafiyyah. Walau bagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang aqidah dan persoalan yang sudah diijma’kan oleh para ulama‘. Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah sekian lama diamalkan dalam masyarakat Islam di negara ini dan di dunia Islam amnya, sebenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggung jawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan Syariah, lebih-lebih lagi terkeluar dari landasan Islam. Di dalam buku ini, dibentangkan penjelasan para ulama’ muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap al-Qur’an, hadits, maupun sumber-sumber istinbath yang lain. Jika masih terdapat di kalangan mu’taridhin (golongan yang menentang amalan-amalan tertentu di dalam masyarakat) yang tetap dengan hujah dan pendapat mereka dalam permasalahan khilafiyyah ijtihadiyyah umpamanya, maka mereka dipersilakan untuk mengikut jalan mereka sendiri dan bukanlah bermakna jalan atau pendapat orang lain yang tidak sependapat dengan mereka salah.

Biodata ringkas penyusun buku ini: Beliau adalah Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Berasal dari Kuching, Sarawak. Mendapat pendidikan awal di SRK Senari dan di SMK Agama Matang 2, Kuching. Mendapat ijazah Sarjana Muda (Al-Qur’an & Hadith) dan Sarjana (Tafsir al-Qur’an) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Sedang menyiapkan tesis Phd dalam bidang Tafsir di Universiti Malaya. Sekarang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya.

Apa kata alim-ulama kita tentang buku ini?

Sahibus Samahah,Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi, Mantan Mufti Negeri Sarawak


“Buku yang bertajuk “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya…” yang disusun dan ditulis oleh Yang Berbahagia, Ustaz Muhadir bin Haji Joll diterbitkan untuk dijadikan panduan kepada kaum muslimin. Saya dapati buku ini adalah baik dan bermanfaat kepada mereka yang berminat untuk mengetahui dalil-dalil dan hujjah-hujjah permasalahan yang tersebut menurut pandangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.”

Dato‘ Haji Hashim Yahya, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Felo Kehormat Akademik, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kehadiran buku “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya…” adalah tepat pada masanya untuk menjawab persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan dalam masyarakat. Penyusun dan penulisnya, Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll, telah berusaha menjawab persoalan-persoalan ini dengan merujuk kepada penjelasan para ulama’ muktabar dan berwibawa dari kalangan mutaqaddimin dan muta’akhkhirin.”

Dato‘ Haji Wan Mohamad bin Dato‘ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 
Kehadiran buku “Persoalan Khilafiyyah dan Pendirian Ulama’: Inilah Jawapannya…” adalah amat tepat pada masanya. Saya percaya ia akan menjadi rujukan yang sangat berguna dalam menjawab persoalan khilafiyyah yang ditimbulkan di dalam masyarakat. Tujuan penulisan buku ini pula seperti yang disebutkan oleh penulisnya, adalah sejajar dengan usaha JAKIM dalam memberi kefahaman Islam yang benar, di samping mempertahankan kesucian aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dan mengekalkan keharmonian masyarakat.

Dato’ Haji Md. Saleh Haji Md. @ Ahmad,Timbalan Yang Di Pertua,Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM),Felo Kehormat Akademik, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sepanjang pengetahuan saya, inilah buku berbahasa Melayu paling lengkap yang pernah saya jumpa, yang menjawab hampir keseluruhan perkara-perkara yang sering ditimbulkan di dalam masyarakat terutamanya di dunia Melayu Islam. Tajuk-tajuk di dalam buku ini disusun dengan baik sekali bermula dari perkara-perkara yang melibatkan Aqidah sehinggalah kepada perkara Umum yang meliputi 117 tajuk keseluruhannya, beserta penjelasan daripada para ulama’ yang muktabar.

Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Pemikir Islam/ Felo Amat Utama Akademik, Institut Pemikiran Antarabangsa dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 
Saya bersyukur kepada Allah dengan kesyukuran yang tidak terhingga kerana Ia telah mengurniakan taufiq dan hidayat kepada saudara yang mulia Ustaz Muhadir bin Haji Joll untuk menyediakan kitab yang sangat besar faedahnya dalam menerangkan masalah-masalah agama dalam masyarakat yang berjudul “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya…

Tuesday, September 28, 2010

Buku Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama - Inilah Jawpannya. Nantikan Kehadirannya Di Pasaran!!!


InsyaAllah akan terbit di pasaran dalam masa terdekat. Sebuah buku yang menjelaskan persoalan-persoalan khilafiyyah berdasarkan pendapat para ulama ahlus sunnah wal jamaah. Buku ini ditulis oleh guru dan juga teman rapat al-Fagir, iaitu al-Fadhil Ustaz Muhadir Hj Joll. Beliau adalah pensyarah di Pusat Matrikulasi UIA, PJ dan sedang menyiapkan thesis PhDnya di UM.


Friday, April 30, 2010

Al-Awa’il al-Sunbuliyyah: Kitab Sanad yang Masyhur

Tulisan ini adalah merupakan cuplikan daripada tulisan al-Fadhil Ustaz Mohd. Khafidz bin Soroni di blog beliau yang bernama Sawanih wa Khawathir.


Biografi Penyusun: Penyusun kitab ialah Syeikh Abu al-Khayr Muhammad Sa‘id ibn Muhammad Sunbul al-Qurasyi al-Makki al-Syafi‘i. Beliau berasal daripada Mekah, dan merupakan salah seorang ulama besar mazhab Syafi’i di Mekah. Beliau pernah menjawat tugas bagi hal-ehwal fatwa dan pengajaran bagi mazhab Syafi’i di Masjidil Haram. Beliau telah menghasilkan beberapa buah karya. Antara tulisan buah tangannya selain kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah kitab Isnad Muhammad Sa‘id, kitab Thabat dan lain-lain. Beliau telah meninggal dunia di Taif pada tahun 1175 H.




Murid:
Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah:

  • Anak beliau sendiri, Muhammad Thahir Sunbul (m.1218H),
  • Muhammad Sa‘id Safar al-Madani (m.1194H),
  • Syeikh Isma‘il bin ’Abdullah al-Naqsyabandi (m.1182H),
  • Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani (m.1192H),
  • Mustafa bin Muhammad al-Rahmati (m.1205H),
  • Muhammad al-Murtadha al-Zabidi, pensyarah Ihya’ ’Ulumiddin (m.1205H) dan lain-lain lagi.
(Lihat: Khayr al-Din al-Zirikli, al-A‘lam, j. 6, h. 140. Muhammad ‘Abd al-Hay ibn ‘Abd al-Kabir al-Kattani, Fihris al-Faharis wa al-Athbat wa Mu‘jam al-Ma‘ajim wa al-Musalsalat, j. 1, h. 100-102. Muhammad ‘Abd Allah Al Rasyid, Imdad al-Fattah bi Asanid wa Marwiyyat al-Syaykh ‘Abd al-Fattah. h. 588-589).




Latarbelakang Kitab: Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah sebuah kitab kecil yang menghimpunkan hadith-hadith pertama yang terdapat di dalam 43 buah kitab hadith, yang diriwayatkan oleh Syeikh Muhammad Sa‘id secara bersambung sanadnya sampai kepada penyusun-penyusun kitab berkenaan. Ini termasuklah al-Kutub al-Sittah, Sunan al-Darimi, Muwatta’ Malik, Musnad Imam Abu Hanifah, Musnad Imam al-Syafi’i, Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Daraqutni, Sunan Sa’id bin Mansur, Musannaf Ibnu Abi Syaibah, Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, Musnad al-Tayalisi dan lain-lain [1].

Tujuan kitab al-Awa’il seperti ini disusun ialah bagi memudahkan penyusunnya mengijazahkan kitab-kitab hadith yang diriwayatkan kepada murid-muridnya atau sesiapa sahaja yang ingin meminta ijazah daripadanya dan layak. Maka sesiapa yang meriwayatkan kitab al-Awa’il ini bermakna sanadnya bersambung secara langsung dengan penyusun-penyusun kitab hadith yang tersebut, seterusnya bersambung dengan Rasulullah SAW. Syeikh Muhammad Sa‘id telah meriwayatkan semua kitab-kitab tersebut daripada guru-gurunya, yang nama mereka seperti berikut: Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (juga guru Syah Waliyullah al-Dihlawi), Syeikh ‘Id ibn ‘Ali al-Azhari (murid Syeikh ’Abdullah bin Salim al-Basri), Syeikh Ahmad al-Nakhli al-Makki dan Syeikh ‘Umar ibn Ahmad ibn ‘Aqil al-Saqqaf. Beliau juga menambah kemudiannya beberapa hadith daripada beberapa kitab hadith lain yang hampir berjumlah 30 buah. Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini masyhur digunakan di daerah Hijjaz dan juga benua kecil India sejak kurun ke-12 Hijrah. (Muhammad ‘Abd al-Hay ibn ‘Abd al-Kabir al-Kattani, ibid., j. 1, h. 100-101) [2]


Sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani: Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini telah menerima tumpuan daripada ramai ahli ilmu dan para pencari sanad. Ini dapat dilihat sebagai contohnya di dalam sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (foto kanan), di mana beliau telah meriwayatkan kitab ini daripada hampir 40 orang syeikh yang dihimpunkan kesemua sanad mereka di dalam risalah kecil berjudul : (النفحة المسكية في الأسانيد المتصلة بالأوائل السنبلية). Jumlah keseluruhan perawi yang terdapat di dalam risalah ini adalah sekitar 190 orang, iaitu antara murid-murid Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul sehingga guru-guru Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. رحمهم الله تعالى Kebanyakan mereka terdiri daripada alim ulama besar yang berasal dari berbagai tempat seperti Hijjaz, Syria, Mesir, Maghribi, Yaman, India, dan juga Nusantara.


Tahkik Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah: Kitab ini telah menerima perhatian daripada ramai ahli ilmu. Ada yang memberi huraian terhadapnya seperti Syeikh Ahmad ibn ‘Uthman al-‘Attar, dan ada juga yang mentahkik isi kandungannya, antaranya ialah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (foto kanan). Beliau telah meriwayatkan kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini melalui rantaian sanad keluarga Sunbul, iaitu daripada Umm Tahir ‘A’isyah Sunbul (m. 1415H), daripada bapanya Syeikh Muhammad Tahir Sunbul (m. 1343H) (foto atas, tengah), daripada bapanya ‘Umar Sunbul, daripada bapanya ‘Abd al-Muhsin Sunbul (m. 1266H), daripada bapanya Muhammad Tahir Sunbul (m. 1218H), daripada bapanya Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul, penyusun kitab tersebut. (Muhammad ‘Abd Allah Al Rasyid (1999), op.cit., h. 589)


Kitab ini sebenarnya sudah dicetak banyak kali, namun edisi yang ditahkik oleh Syeikh ‘Abd al-Fattah ini agak berbeza dengan edisi-edisi cetakan yang lainnya kerana beliau turut melampirkan beberapa tambahan yang dibuat oleh penyusunnya sendiri yang belum pernah dicetak sebelumnya.


Contoh Manuskrip Kitab Awail al-Sunbuliyyah


Sanad al-Faqir (al-Fadhil Ustaz Mohd. Khafidz bin Soroni): Alhamdulillah, saya telah meriwayatkan kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini daripada guru kami, al-’Allamah al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh, yang meriwayatkannya daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (foto kanan dan di bawah adalah contoh sanad kitab Awail al-Sunbuliyyah yang Syeikh Yasin al-Fadani riwayatkan dari syeikh-syeikh beliau sepertimana yang disebut diatas - abu zahrah). Namun beliau tidak menyebut kesemua sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, dan hanya menyebut jalur riwayatnya daripada Sayyid Zaki bin Ahmad al-Barzanji al-Madani, daripada bapanya al-Mufti Sayyid Ahmad bin Isma’il al-Barzanji, daripadanya bapanya Sayyid Isma’il bin Muhammad al-Hadi al-Barzanji, daripada Syeikh Khalid bin Hasan al-Kurdi, daripada Syeikh Muhammad bin ’Abdur Rahman al-Kazbari, daripada Syeikh Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani, daripada penyusunnya sendiri Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul. [3] حمهم الله تعالى جميعا.

Pesanan penulis
(al-Fadhil Ustaz Mohd. Khafidz bin Soroni): Dilarang menerbit semula kecuali dengan izin penulis, atau memberi kredit kepada penulis demi amanah ilmiah.


***************


Nota tambahan oleh al-Fagir Abu Zahrah:

[1] – Kitab-kitab tersebut adalah: Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan at-Tirmidhi, Sunan an-Nasai, Sunan Ibn Majah, Musnad ad-Darimi, Muwattho` Malik, Muwattho’ Muhammad al-Hasan, Jaami` Masanid Abi Hanifah, Musnad al-Imam asy-Syafie, Sunan al-Imam asy-Syafie, Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal, Kitab al-Aasar li Muhammad al-Hasan, Sunan ad-Daraqutni, al-Mustakhraj ‘ala Shahih Muslim lil Haafidz Nu’aim, Sunan Abu Muslim al-Kasyi, Sunan Said bin Manshur, Mushannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab Syarh as-Sunnah oleh al-Baghwi, al-Mashobih oleh al-Baghwi, Musnad at-Thoyaalisi, Musnad ‘Abdu ibn Humaid – al-Muntakhab, Musnad al-Haarits ibn Abi Usamah, Musnad al-Bazaar, Musnad abi Ya’la al-Maushuli, Kitab az-Zuhd wa al-Riqaaq – al-Haafidz Ibn al-Mubaarak, Nawaadir al-Ushuul – al-Hakiim at-Tirmidhi, Kitab ad-Du’a – ath-Thabarani, Iqtidha` al-Ilm al-Amal – Khatib al-Baghdadi, Kitan Tarikh al-Rijaal – Yahya ibn Ma’in, Mushannaf ‘Abdur Razzaq al-Shon’ani, as-Sunan as-Shogra` - al-Baihaqi, as-Sunan al-Kubra` - al-Baihaqi, al-Mustakhraj ‘ala Shahih Muslim – Abi ‘Awanah, Shahih Ibn Hibban, Shahih al-Haakim @ al-Mustadrak, Shahih Ibn Khuzaimah, Shahih Abi Bakar al-Ismaa’iiliy, Kitab ‘amal al-Yaum wa al-Lailah – Ibn as-Sunni dan Jam’u al-Fawaaid min Jaami’ al-Ushuul wa Majma’ al-Zawaaid – Muhammad bin Sulaiman.


[2] – Telah menjadi tradisi di Makkah al Mukarramah suatu masa dahulu, kitab ini dibaca dan mula-mula diijazahkan sebelum pembacaan dan pengijazahan kitab-kitab yang lain.

[3] – Dengan limpahan rahmatNYA, al-Fagir juga memperolehi sanad kitab yang masyhur ini daripada Guru Mulia, Syeikh Muhammad Nuruddin bin Marbu bin ‘Abdullah al-Banjari al-Makki dan juga daripada al-‘Allamah al-Muhaddits Syeikh Mahmud Said Mamduh. AlhamduliLlah.



Related Posts with Thumbnails